Tuesday, February 11, 2014

Adat Melayu @ Pertunangan Fadzillatul Alya [ Anak buah ]



  1 RabiulAkhir ,1435H @ 1hb.Februari,2014 [ Sabtu ]
  moga berbahagia selalu

















Adat Melayu @ Majlis Pertunangan

1.      Definisi
a)    Secara Lisan
Perkataan ‘tunang’ atau ‘bertunang’ ini adalah asalnya daripada perkataan arab iaitu Khutba[1] atauKhitbah[2] yang bermaksud suatu perjanjian untuk memasuki perkahwinan yang biasanya dipanggil ‘Pertunangan’[3]. Pertunangan juga boleh dirujuk sebagai upacara peminangan seorang lelaki yang berkehendakkan seorang wanita untuk dijadikan isteri dengan mengadakan majlis pertunangan. Dengan erti kata yang lebih ringkas, pertunangan adalah merupakan perjanjian untuk mendirikan rumahtangga.

b)    Secara Praktikal
Menurut penulis Mimi Kamariah, Perkahwinan adalah merupakan suatu kontrak yang tersendiri. Maka, sebelum memasuki perjanjian pernikahan, maka perlulah memasuki suatu perjanjian lain terlebih dahulu iaitu perjanjian yang dikenali sebagai Pertunangan. Pertunangan adalah merupakan suatu kontrak untuk berkahwin di mana ianya berlaku apabila pihak lelaki mengemukakan permohonan peminangan atau hasrat untuk mengahwini kepada pihak perempuan sama ada secara langsung atau tidak langsung melalui ‘perantaraan’[4]. Perantaraan di sini bermaksud medium iaitu orang tengah yang kebiasaannya terdiri daripada ahli keluarga lelaki sebagai wakil, yang menyampaikan hajat kepada wakil pihak perempuan tentang hajat seorang lelaki untuk memperisterikan perempuan tersebut.

2.      Dalil atau Nas
Terdapat beberapa pendapat yang menyatakan bahawa tiada istilah ‘pertunangan’ di dalam Islam, tetapi hanya upacara pertunangan sahaja yang diamalkan oleh masyarakat kita di Malaysia. Walaubagaimanapun, terdapat rujukan ataupun maklumat di dalam al-Quran dan hadith yang membenarkan dan menyokong pertunangan.
a)    Al-Quran
Surah al-Baqarah : 234-235
“Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (dan hendaklah isteri-isteri itu) menangguhkan dirinya (ber’eddah) empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis ‘eddahnya, maka tiada dosa bagimu (para wali) membiarkan mereka berbuat terhadap diri mereka menurut yang patut. Allah mengetahui apa yang kamu perbuat. Dan tidak ada dosa bagi kamu meminang wanita-wanita itu dengan sindiran atau kamu menyembunyikan (keinginan mengahwini mereka) dalam hatimu. Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut mereka, dalam pada itu janganlah kamu mengadakan janji kahwin dengan mereka secara rahsia, kecuali sekadar mengucapkan (kepada mereka) perkataan yang ma’aruf. Dan janganlah kamu berazam (bertetap hati) untuk beraqad nikah, sebelum habis ‘eddahnya. Dan ketahuilah bahawasanya Allah mengetahui apa yang ada dalam hatimu; maka takutlah kepada-Nya, dan ketahuilah bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun”

b)    Hadith
Manakala di dalam hadith Nabi junjungan, Nabi Muhammad SAW, Baginda ada juga menyebut akan perihal pertunangan. Dari Ibn Umar, Rasulullah SAW bersabda bahawasanya, “Tidak boleh meminang seorang atas pinangan saudaranya sehingga yang meminang sebelumnya itu meninggalkan pinangannya atau diizinkan baginya”[5].
Dari Abu Hurairah, beliau berkata, pernah aku duduk berdekatan dengan Baginda. Lalu datang kepada Baginda seorang lelaki, maka diceritakan bahawa lelaki tersebut akan mengahwini seorang perempuan dari kaum Ansar. Baginda bertanya “Sudahkah kamu melihat rupanya?”. Lelaki itu menjawab “Belum”. Maka Baginda menyuruh lelaki tersebut agar melihat perempuan yang ingin dikahwininya terlebih dahulu.
Baginda SAW juga pernah memberi nasihat kepada Mughirah bin Syu’ban yang ingin meminang seorang perempuan. Maka Baginda menasihatinya agar melihat perempuan itu terlebih dahulu. Sabda Baginda “Lihatlah dia terlebih dahulu agar nantinya kamu boleh hidup bersama lebih selesa dalam rumahtangga”.

3.    Pihak – Pihak yang terlibat
Sebelum dilangsungkan adat pertunangan atau peminangan ini, pemilihan pasangan eloklah dilakukan terlebih dahulu. Islam secara amnya telah menggariskan sifat-sifat ataupun syarat-syarat yang sepatutnya dimiliki oleh setiap pasangan. Namun, kita sebagai manusia biasa yang tidak sempurna sepenuhnya pastinya terbatas untuk memiliki segala sifat-sifat terpuji itu. Walaubagaimanapun, Islam tetap meletakkan syarat agama sebagai sifat yang tertinggi. Maka di sini, adalah merupakan senarai-senarai secara amnya, sifat-sifat yang harus dimiliki.
a)    Lelaki yang mengemukakan hasrat untuk bertunang.
Lelaki tersebut wajiblah seorang yang berakal dan juga beragama Islam. Hal ini kerana tidak sah akad nikah nanti oleh calon suami yang gila ataupun yang masih di bawah umur. Adalah juga haram bagi lelaki yang bukan Islam mengahwini perempuan yang beragama Islam dan begitu juga sebaliknya.
Lelaki tersebut mestilah lelaki yang telah berusia akhil baligh, yang bertanggungjawab, yang beriman serta bertaqwa kepada Allah SWT. Lelaki yang berilmu serta rajin berusaha insyaAllah dapat mendidik keluarganya suatu hari nanti dan seterusnya dapat membimbing mereka ke jalan yang diredhai Allah SWT.
Lelaki tersebut harus pasti orangnya[6]. Hal ini adalah kerana terdapat ramai orang yang mempunyai nama yang sama, bahkan juga ber-bin-kan nama ayah yang serupa juga. Jika lelaki tersebut mempunyai adik beradik lelaki yang ramai, maka sewaktu upacara pertunangan itu, haruslah menyatakan dan menjelaskan yang mana calon suami kepada perempuan yang bakal ditunangkan, sebaik-baiknya menyebut nama penuh lelaki tersebut.
Lelaki tersebut hendaklah seorang lelaki yang tidak mempunyai isteri seramai 4 orang. Jika lelaki tersebut ingin juga meminang seorang perempuan, walhal dia sudah beristeri empat, maka seharusnya dia menceraikan salah seorang isteri-isterinya. Di dalam agama Islam, seorang lelaki hanya boleh dibenarkan mempunyai seramai 4 orang isteri.
Lelaki tersebut harus mempunyai pengetahuan bahawa perempuan yang bakal bertunang dengannya adalah halal baginya iaitu tiada larangan bagi lelaki tersebut untuk menikahinya[7]. Penjelasan mengenai perempuan yang dilarang untuk dinikahi akan dijelaskan di dalam “Perempuan yang akan ditunangkan” di bawah.

b)    Perempuan yang hendak ditunangkan
Di dalam usaha untuk memilih calon isteri, Islam telah meletakkan garis panduan yang jitu dalam memastikan kerukunan rumahtangga terpelihara, aman, bahagia dan diredhai Allah SWT. Hal ini dapat kita lihat di dalam hadith Baginda Rasulullah SAW yang telah menyatakan apakah sifat-sifat yang seharusnya ada dan huraian berkenaan dengan sifat-sifat tersebut.
“Dikahwini perempuan itu kerana empat perkara. Kerana Hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka utamakanlah perempuan yang mempunyai agama dan beruntunglah hidupmu”
Yang dimaksudkan bagi perempuan yang kuat agamanya ialah yang taat menjalankan perintah agama, suka beramal soleh dan ‘iffah (dapat memelihara dirinya) dari segala yang haram[8]. Baginda Rasulullah mementingkan kekuatan agama bagi seorang wanita adalah supaya wanita tersebut dapat menjadi isteri yang solehah untuk suaminya, supaya taat segala suruhan selain yang melanggar syariat. Segala yang di dunia hanyalah harta benda belaka. Oleh yang demikian, sebaik-baik harta benda keduniaan bagi seseorang adalah mempunyai isteri yang solehah.
Perempuan tersebut hendaklah beragama Islam dan bukanlah seorang yang kafir musyrik. Namun begitu, ketika zaman Baginda Rasulullah SAW, dihalalkan bagi seorang lelaki Muslim untuk berkahwin dengan wanita ahlil kitab. Tetapi jika dilihatkan zaman kini, adalah mustahil untuk memastikan yang wanita ahlil kitab ini masih wujud.
Perempuan tersebut haruslah pasti orangnya. Terutama sekali apabila perempuan tersebut mempunyai ramai adik beradik perempuan. Maka, sewaktu upacara pertunangan diadakan, pihak lelaki hendaklah menyatakan dengan jelas siapakah atau dengan lebih baik nama penuh perempuan berkenaan. Ini adalah untuk mengelakkan kekeliruan di masa akan datang iaitu sewaktu akad nikah diadakan.
Perempuan tersebut hendaklah halal bagi lelaki yang ingin meminangnya. Iaitu lelaki yang tidak bersangkutan Dari segi hubungan nasab, susuan, atau perkahwinan.
Di dalam surah an-Nisa’: 23, Allah berfirman;
“Diharamkan atas kamu (mengahwini) ibu-ibumu; anak-anakmu yang perempuan; saudara-saudaramu yang perempuan; saudara-saudara bapakmu yang perempuan; saudara-saudara ibumu yang perempuan; anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu yang laki-laki; anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu yang perempuan; ibu-ibumu yang menyusui kamu; saudara perempuan sepersusuan; ibu-ibu isterimu (mertua); anak-anak isterimu yang dalam pemeliharaanmu dari isteri yang telah kamu campuri, tetapi jika kamu belum campur dengan isteri kamu itu (dan sudah kamu ceraikan), maka tidak berdosa kamu mengahwininya; (dan diharamkan bagimu) isteri-isteri anak kandungmu (menantu); dan menghimpunkan dalam (perkahwinan) dua perempuan yang bersaudara, kecuali yang telah terjadi pada masa lampau; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”
Perempuan tersebut hendaklah bukan di dalam eddah. Iaitu di dalam keadaan perempuan yang telah diceraikan suaminya ataupun yang telah kematian suaminya, seorang lelaki adalah diharamkan melamar perempuan tersebut secara zahir. Sebagai contoh, seorang lelaki yang menaruh hasrat untuk meminang seorang perempuan yang kematian suami atau yang telah diceraikan suami hendaklah menyimpan hasrat tersebut sehingga ‘eddah perempuan itu berakhir. Setelah itu, lelaki tersebut dibolehkan untuk meminang perempuan tersebut.
Di dalam surah al-Baqarah: 234-235, Allah berfirman;
“Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (dan hendaklah isteri-isteri itu) menangguhkan dirinya (ber’eddah) empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis ‘eddahnya, maka tiada dosa bagimu (para wali) membiarkan mereka berbuat terhadap diri mereka menurut yang patut. Allah mengetahui apa yang kamu perbuat. Dan tidak ada dosa bagi kamu meminang wanita-wanita itu dengan sindiran atau kamu menyembunyikan (keinginan mengahwini mereka) dalam hatimu. Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut mereka, dalam pada itu janganlah kamu mengadakan janji kahwin dengan mereka secara rahsia, kecuali sekadar mengucapkan (kepada mereka) perkataan yang ma’aruf. Dan janganlah kamu berazam (bertetap hati) untuk beraqad nikah, sebelum habis ‘eddahnya. Dan ketahuilah bahawasanya Allah mengetahui apa yang ada dalam hatimu; maka takutlah kepada-Nya, dan ketahuilah bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun”
Perempuan tersebut hendaklah bukan milik lelaki lain iaitu isteri kepada lelaki lain. Di dalam Islam seorang perempuan tidak boleh mempunyai suami lebih dari seorang. Maka mana-mana pertunangan yang diadakan dengan perempuan yang telah bersuami ianya adalah tidak sah dan terbatal.
Perempuan tersebut hendaklah bukan perempuan yang telah menjadi tunangan lelaki lain. Ini bermakna, jika seorang perempuan tersebut telah bertunang, maka mana-mana lelaki adalah haram untuk meminangnya.

4.    Hukum Pertunangan
Di kalangan masyarakat Islam di Malaysia, walaupun agama Islam tidak mewajibkan upacara pertunangan, sering terjadi perkahwinan yang didahului oleh ikatan semacam pertunangan[9]. Kebiasaannya kehendak untuk mengadakan ikatan pertunangan ini adalah dari pihak lelaki yang ingin melamar perempuan tersebut. Jika lamaran itu diterima, maka upacara pertunangan akan dilakukan bagi membincangkan penetapan waktu pernikahan, jumlah mahar dan sebagainya.
Secara dasarnya Islam tidak menyatakan secara terang berkenaan dengan hukum pertunangan ini sama ada ianya wajib atau haram. Namun apa yang dapat dikenal pasti ianya boleh dikatakan sunat kerana berdasarkan hadith-hadith Nabi SAW, telah menggariskan perkara-perkara yang sunat dilakukan sewaktu peminangan dilangsungkan.

5.    Tujuan Pertunangan
Pertunangan adalah merupakan ikatan di antara seorang lelaki dan seorang perempuan sebelum keduanya dinikahkan. Tujuannya adalah untuk mengikat janji yang suatu hari keduanya akan berkahwin. Pertunangan diadakan adalah untuk merapatkan silaturrahim antara kedua belah keluarga di mana, keluarga pihak lelaki akan bertandang ke rumah pihak perempuan. Maka di situ akan bergaul mesra dan berkenal-kenalanlah di antara kedua keluarga. Apabila kedua belah keluarga ini bertemu, maka sudah pasti mereka akan berbincang untuk mendapatkan kata sepakat berkenaan dengan penetapan tarikh dan tempat pernikahan, jumlah mahar (mas kahwin), jumlah pemberian (dulang hantaran) dan sebagainya. Apabila telah dipersetujui tarikh dan tempat pernikahan, maka bakal pengantin keduanya dapat membuat persiapan-persiapan yang sepatutnya terutamanya di dalam memahirkan diri tentang ilmu perkahwinan dan kekeluargaan. Bakal pengantin juga dapat memperuntukkan masa dan wang bagi menghadapi hari pernikahan nanti.

6.    Tempoh Pertunangan
Tempoh pertunangan adalah bergantung kepada keupayaan pasangan tersebut. Memandangkan perkahwinan adalah perkara yang paling dianjurkan di dalam agama Islam, maka seelok-eloknya janganlah ditangguhkan tanpa sebab musabab yang kuat.Hal ini kerana boleh menimbulkan kesusahan bukan sahaja terhadap pasangan tersebut malah kepada kedua keluarganya, lebih-lebih lagi apabila ianya berkaitan dengan fitnah dan hasutan jahat.
Kebiasaanya di Malaysia, tempoh yang biasa diperuntukkan adalah tidak kurang dan tidak lebih setahun. Ada juga yang mengikat janji lebih daripada setahun, sebagai contoh jika keduanya atau salah seorang dari keduanya sedang melanjutkan pelajaran atau berada jauh di negeri lain.

7.    Majlis Pertunangan mengikut adat Melayu
ADAT MERISIK
Adat orang dahulu kala, jika seorang lelaki berkenan akan seorang perempuan, maka hasratnya akan diluahkan kepada ibubapanya. Maka menjadi tangungjawab ibubapa lelaki tersebut untuk bertandang ke rumah perempuan yang ingin dinikahi tersebut untuk memaklumkan kepada ibubapa perempuan tersebut dengan menyampaikan hasrat hati lelaki berkenaan. Telah menjadi adat resam, sewaktu keluarga pemuda bertandang ke rumah gadis akan membawa sebentuk cincin yang dipanggil cincin merisik. Sewaktu adat merisik inilah perbincangan mengenai majlis pertunangan akan dibincangkan seperti tarikh dan tempat untuk majlis bertunang.

ADAT BERTUNANG
-       Persediaan Pertunangan
Kebiasaannya majlis pertunangan akan diadakan yang bertujuan untuk mengikat tali persetujuan untuk mendirikan rumahtangga di antara lelaki dan perempuan, tidak kira sama ada majlis tersebut dibuat secara besar-besaran, mahupun secara kecil-kecilan, namun kedua-dua pihak haruslah membuat persediaan. Di dalam artikel ini, persediaan bagi majlis pertunangan akan dibahagikan kepada dua iaitu persediaan bagi pihak perempuan dan persediaan bagi pihak lelaki.
Bagi pihak perempuan, terdapat 3 perkara penting yang perlu di ambil kira iaitu persediaan bagi diri sendiri, persediaan membuat persiapan dulang hantaran dan persediaan bagi majlis pertunangan. Bagi persediaan diri sendiri, perempuan yang akan ditunangkan semestinya perlulah berhias. Seelok-eloknya berpakaian kemas, sopan dan cantik dipandang, atau mengenakan solekan diwajah agar Nampak lebih berseri. Bukan sahaja nampak manis dipandang, malah bakal mertua juga pasti berbangga dengan bakal menantu yang cantik rupawan. Pasti ketika bakal mertua menyarungkan cincin dijari, perempuan tersebut akan kelihatan lebih berkeyakinan. Kini, masyarakat kita terutamanya di bandar lebih gemar ke butik andaman untuk mendapatkan pakej-pakej menarik. Ini termasuklah pakej pelamin, sewa pakaian, dan juga gubahan dulang hantaran. Terdapat juga diantara kita yang membuat tempahan baju pertunangan. Hal ini kerana, memandangkan majlis pertunangan ini tidaklah sebesar majlis perkahwinan, baju yang dipakai ketika majlis pertunangan boleh dipakai untuk ke majlis-majlis formal lain.
Persediaan dulang hantaran adalah tertakluk kepada keinginan dan persetujuan kedua-dua belah pihak. Bagi mereka yang inginkan majlis yang amat sederhana dan mudah, tiada pelbagai pemberian yang akan diberikan sama ada dari pihak lelaki ataupun perempuan melainkan cincin sebagai tanda. Bagi golongan seperti ini, cukuplah sebentuk cincin beserta dengan  sedulang sirih junjung atau boleh juga digantikan dengan tepak sirih sekadar mengikut kehendak adat. Walaubagaimanapun, majlis seperti ini kurang diamalkan oleh masyarakat Melayu terutamanya bagi mereka yang masih berpegang kuat dengan adat resam. Bagi golongan yang dikenali sebagai golongan orang beradat ini, pemberian dulang hantaran perlu diberi oleh pihak lelaki dan dibalas oleh pihak perempuan. Jika pihak lelaki memberi hantaran dulang sebanyak 5 dulang, maka pihak perempuan perlu membalas sebanyak 7 dulang. Yang pasti, nombor dulang hendaklah ganjil. Sebaik-baiknya, pihak lelaki akan memberi sebanyak 5 dulang atau lebih asalkan nombornya ganjil. Perlu diingatkan sirih junjung atau tepak sirih hendaklah disertakan sekali bersama dulang-dulang hantaran yang lain. Hantaran-hantaran atau pemberian ini adalah merupakan pemberian hadiah kepada pasangan masing-masing. Biasanya pemberian ini terdiri daripada pakaian, makanan, barang keperluan peribadi seperti produk kecantikan dan sebagainya.
Manakala persiapan bagi majlis adalah akan diusahakan oleh keluarga pihak perempuan. Semuanya bergantung kepada jumlah jemputan. Jika sekiranya keluarga pihak perempuan menjemput hanya ahli keluarga dan rakan-rakan yang terdekat maka majlis tersebut berkemungkinan tidak akan melibatkan jumlah kos yang tinggi. Berbanding pula dengan jemputan hadirin yang ramai, pasti tuan rumah perlu menyediakan pelbagai persiapan dan juadah yang lebih banyak. Oleh yang demikian, bagi memudahkan cara, ramai di antara menggunakan khidmat katering.
Bagi pihak lelaki pula, persediaan menghadapi majlis pertunangan adalah lebih kurang bebannya berbanding dengan pihak perempuan. Pihak lelaki harus menyediakan sebentuk cincin sebagai tanda ikatan. Samaada mahu dihias cantik di atas dulang, atau tidak terpulang kepada keperluan dan kehendak masing-masing. Adat orang dahulu, pemuda tidak dibenarkan untuk datang bertandang ke rumah gadis ketika majlis pertunangan di adakan. Namun kini, masa merubah, malah keluarga perempuan pula yang mempelawa lelaki tersebut naik ke rumah. Bukan itu sahaja, malah lelaki tersebut juga akan disarungkan cincin pertunangan dijari oleh keluarga perempuan berkenaan. Kelebihannya jika lelaki tersebut dibenarkan bertandang, maka kekekliruan dapat dielakkan. Dalam erti kata lain, perempuan tersebut telah ditunangkan dengan lelaki yang betul pilihannya.

-       Acara di Majlis Pertunangan
Setelah ketibaan rombongan keluarga pihak lelaki, majlis akan dimulakan dengan salam dan ucapan selamat datang kepada rombongan. Untuk memudahkan acara, pengerusi majlis haruslah dilantik yang kebiasaannya akan dipengerusikan oleh pihak gadis. Pengerusi majlis seterusnya akan membuka majlis dengan pembuka surah, atau puji-pujian kepada Allah dan Rasul. Kemudian, pengerusi majlis akan menerangkan serba sedikit mengenai majlis pertunangan seperti, tujuan majlis diadakan dan sebagainya. Seterusnya pengerusi majlis akan menjemput wakil daripada pihak lelaki untuk memulakan bicara menyatakan hasrat rombongan bertandang ke rumah perempuan. Wakil tersebut bukanlah ibu atau bapa lelaki tersebut, tetapi merupakan mana-mana ahli keluarga lelaki tersebut yang telah dilantik untuk meyampaikan hasrat lelaki tersebut untuk meminang. Kemudian, pengerusi majlis akan menjemput wakil pihak perempuan untuk berucap. Seperti juga wakil pihak lelaki, wakil pihak perempuan hendaklah terdiri daripada mana-mana ahli keluarga perempuan tetapi bukanlah ibu atau bapa kepada perempuan tersebut. Jika dahulu, cara komunikasi antara wakil dilakukan secara berbalas-balas pantun ataupun berkias. Sekali sekala ada juga lawak jenaka diselit di dalam perbincangan itu untuk menghiburkan hati tetamu yang hadir.
Majlis seterusnya akan diteruskan oleh wakil pihak perempuan untuk menyatakan persetujuan pertunangan dilangsungkan. Selain daripada itu, perbincangan mengenai tarikh pernikahan, jumlah mahar (mas kahwin), wang hantaran (belanja), jumlah pemberian atau dulang hantaran turut juga dibincangkan.
Setelah kedua-dua pihak bersetuju, adat orang dahulu, bakal ibu mertua akan masuk ke bilik perempuan tersebut untuk menyarungkan cincin pertunangan dijari perempuan tersebut. Namun kini, perempuan tersebut akan dipelawa keluar di hadapan tetamu untuk duduk di tempat khas atau biasanya akan dibuat pelaminan khas yang simple dan kemudian bakal ibu mertua akan menyarungkan cincin pertunangan. Dengan itu, secara rasminya, tali pertunangan telah diikat antara keduanya

Thursday, November 21, 2013

PHOTO @ Keluarga Johari bin Stan

Johari bin Stan

















PHOTO @ Keluarga Puan Nooraini binti Stan

Puan Nooraini binti S

tan

PHOTO @ Keluarga Pn.Hamidah binti Stan

Puan Hamidah Binti Stan













PHOTO @ Keluarga En. Hazmi bin Stan

En .Hazmi bin Stan